Tangguhkan Pembentukan Kabinet, Ismail Sabri Perlu Fokus Pada Masalah Covid-19 Dan Ekonomi


Tahniah Makcik Kiah ucapkan kepada Dato’ Sri Ismail Sabri atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 9.

Perjalanan Ismail Sabri ke Putra Perdana ibarat sebuah filem yang mendebarkan.

Watak-watak utama ditonjolkan, tapi akhirnya watak 'underdog' yang tampil sebagai hero di saat akhir cerita.

Namun bagi Ismail Sabri, perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke 9 bukanlah pengakhiran kepada sebuah cerita tetapi ianya adalah permulaan.

Sebaik sahaja Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, telah tersedia 2 cabaran yang sangat besar untuk beliau hadapi.

Jatuh bangun beliau sebagai Perdana Menteri dan parti UMNO, malah lebih penting dari itu, rakyat negara ini akan bergantung kepada kebijaksanaan dan kecekapan beliau menghadapi dan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi negara yang sudah sangat tenat.




Kejayaan terbesar Mahiaddin sewaktu menerajui Kerajaan Perikatan Nasional ialah menangani masalah jangkitan pandemik Covid-19 yang sudah melanda negara hampir 20 bulan yang lalu, sejak di era Kerajaan Pakatan Harapan.

Sehari sebelum Ismail Sabri disahkan mendapat pencalonan terbanyak dari Ahli Parlimen, buah tangan yang ditinggalkan oleh Mahiaddin kepada Ismail Sabri ialah lebih 1.5 juta kes Covid-19 yang masih aktif, jumlah kes kematian yang menghampiri 14 ribu rakyat Malaysia akibat dari jangkitan Covid-19 dan kes jangkitan harian Covid-19 yang secara konsisten mencatat angka melebihi 20 ribu kes sehari.

Masalah ini perlu mendapat perhatian khas dan mesti ditangani segera oleh Ismail Sabri sebaik sahaja melangkah ke pejabat Perdana Menteri.

Tiada istilah bulan madu bagi Ismail Sabri.

Kegagalan menangani pandemik Covid-19 adalah punca sebenar kejatuhan Mahiaddin dan membuatkan beliau tersingkir keluar dari Putra Perdana.

Rakyat sudah bosan terkurung di rumah dengan tiada pendapatan, hingga ribuan mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat dari pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan, Proklamasi Darurat dan 'Total Lockdown' yang diperkenalkan oleh Mahiaddin.

Rakyat merasakan pengorbanan dan kerjasama yang mereka berikan adalah sia-sia kerana selepas begitu lama terkurung dengan pelbagai sekatan, namun kadar jangkitan kes baharu Covid-19 tidak menurun, malah berpuluh kali ganda meningkat.

Sekiranya Ismail Sabri dapat menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dengan segera, maka masalah kedua negara iaitu ekonomi rakyat dan negara akan dapat dipacu semula.

Terjejasnya ekonomi mikro domestik negara adalah berkait rapat dengan pandemik Covid-19 di negara kita.

Bila rakyat terkurung, mereka tidak boleh berkerja dan kehilangan punca pendapatan dan ini menyebabkan kitaran ekonomi domestik kita menjadi kaku.

Malah industri IKS yang banyak membekalkan keperluan harian domestik juga terpaksa ditutup dan ini menyebabkan berlakunya keadaan permintaan barangan melebihi dari tawaran, akibatnya harga melambung tinggi dan ini membuka ruang yang cukup besar untuk berlaku inflasi.

Ketidakstabilan politik serta dasar luar negara regim Mahiaddin telah melenyapkan keyakinan pelabur asing di negara kita.

Kenyataan-kenyataan mengelirukan yang dibuat oleh menteri-menteri regim Mahiaddin membuatkan pelabur hilang keyakinan.

Kalau kita membaca kenyataan dari Menteri Kewangan atau Menteri MITI atau Menteri Ekonomi, kita akan didendangkan dengan kenyataan yang menggambarkan keadaan ekonomi negara berkembang dengan baik.

Hakikatnya, di mata dunia, Malaysia sedang menuju kepada kehancuran ekonomi.

Malah The Edge Markets melapurkan Flitch menganggarkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2021 adalah pada kadar 0%!!!

Baca di sini:


Ini adalah keadaan yang cukup membimbangkan.

Ismail Sabri MESTI mendengar nasihat dari beberapa individu yang mempunyai kepakaran tetapi tiada kepentingan peribadi dalam mengawal pandemik Covid-19 dan juga ekonomi.

Jangan hanya mendengar pandangan sehala dari orang sekeliling beliau atau pun menteri kabinet beliau sahaja.

Pandangan itu mestilah diseimbangkan dengan nasihat serta pandangan dari pakar-pakar lain.

Kita ada ramai pakar perubatan yang khusus di dalam kawalan penyakit berjangkit, mintalah nasihat dari mereka dan jangan hanya terlalu bergantung kepada Ketua Pengarah Kesihatan yang sudah terbukti gagal mengawal jangkitan Covid-19.

Bukan skuad Edisi Siasat mahu memperkecilkan kredibiliti Dr Noor Hisham tapi sudah sampai masanya Ismail Sabri mendapatkan 'fresh blood' dari pihak lain.

Kita juga mempunyai beberapa orang mantan Menteri Kewangan yang diiktiraf dunia seperti Tengku Razaleigh Hamzah, DS Najib dan DS Anwar Ibrahim.

Mungkin mereka boleh dikumpulkan untuk memberikan solusi kepada masalah ekonomi negara.

Yang paling penting, janganlah dikekalkan barisan kabinet Perikatan Nasional di dalam kabinet Ismail Sabri kerana sudah terbukti mereka gagal.

Apa lagi kalau mahu mengambil Mahiaddin Md Yasin sebagai Menteri Mentor, benar kita boleh mengikut acuan Singapura yang mengambil mendiang Lee Kwan Yew sebagai Menteri Mentor, tetapi Lee Kwan Yew adalah individu yang membangunkan Singapura dari nothing to something, manakala Mahiaddin adalah individu yang menghancurkan negara dari hero to zero!!!

Makcik Kiah juga tidak nampak ada keperluan mendesak untuk Ismail Sabri membentuk atau mengumumkan kabinet baharu beliau sekarang atau setidak-tidaknya sebelum undian keabsahan beliau dilakukan di Parlimen.

Sangat jelas, SPB YDP Agong bertitah supaya kerajaan baharu yang akan dibentuk oleh Ismail Sabri mesti memberikan tumpuan sepenuhnya kepada 2 masalah utama yang sedang dihadapi oleh rakyat dan negara, iaitu masalah Covid-19 dan juga masalah ekonomi.

Dalam ucapan sulong sebagai Perdana Menteri ke 9, beliau juga telah menyeru semua pihak supaya mengenepikan dahulu segala perbezaan ideologi politik dan meminta supaya semua ahli politik berganding bahu bersama kerajaan untuk menyelesaikan segera 2 masalah utama negara yang sudah berlarutan lebih dari 20 bulan.

Tetapi setakat artikel ini ditulis, tidak ada satu parti politik yang mengeluarkan kenyataan atau cadangan untuk membantu Ismail Sabri menyelesaikan masalah Covid-19 dan ekonomi, walau pun dalam ucapan sulong beliau, Ismail Sabri membuka ruang yang cukup luas kepada parti pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara.

Apa yang jelas kedengaran ialah parti ini menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, parti itu menuntut jawatan menteri dan sebagainya.

Rakyat sudah bosan dengan karenah ahli politik, pelabur luar dan dunia luar sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia akibat dari onar yang dilakukan oleh ahli politik!!!

Jadi tangguhkan dahulu pembentukan kabinet baharu.

Sementara menunggu hingga terbentuknya kabinet baharu dibentuk, segala urusan pentadbiran boleh dilaksanakan oleh Ketua Setiausaha di kementerian masing-masing.

Mana dasar-dasar yang terbukti tidak berkesan atau gagal, Ketua Setiausaha boleh berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara untuk diangkat terus kepada Perdana Menteri supaya dapat dilakukan tambah nilai kepada dasar berkenaan atau dimansuhkan terus tanpa ada campurtangan politik.

Makcik Kiah yakin, pentadbiran negara akan berjalan lebih lancar apabila perlaksanaan dasar akan menjadi lebih fokus apabila tidak ada keperluan untuk mendapatkan ‘political mileage’.

Jadi tidak perlu tunduk kepada tekanan PPBM atau mana-mana parti, tumpukan dahulu kepada masalah sebenar yang sedang dihadapi dan cara yang terbaik bagi Ismail Sabri ialah tangguhkan dahulu pembentukan kabinet sehingga selepas 7 September 2021 atau lebih baik lagi, tangguhkan hingga ke akhir penggal, bulan Mei 2023.

Comments

Popular posts from this blog

Ada Cerita Yang Lebih Panas Di Sebalik Kartel JMB

Surat Perjanjian Ismail Sabri & Muhyiddin Terdedah

PRN Johor: Tawaran Syed Saddiq Pada Anak Muda!!!