Check Mate Kepada Regim Mahiaddin Md Yassin


Persidangan Khas Majlis Raja Raja Melayu telah disempurnakan kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian rakyat, terutamanya ahli politik :


SPB YDP Agung Dan Raja Raja Melayu Menitahkan Supaya Parlimen Dan Dewan Undangan Negeri Bersidang Dengan Segera

Kalau Makcik Kiah tak silap, ini adalah kali kedua SPB YDP Agung menitahkan supaya Parlimen segera bersidang.

Cuma kali ini, titah SPB YDP Agung didokong sepenuhnya oleh kesemua sembilan Raja Raja Melayu di dalam Majlis Raja Raja Melayu.

Dalam perkara 8 Siaran Media yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja, jelas SPB YDP Agung dan Majlis Raja Raja Melayu mahu Parlimen dibuka dengan segera.

Apa lagi alasan yang boleh regim Mahiaddin mahu berikan untuk menangguhkan lagi sidang Dewan Parlimen?

Apakah alasan data dan sains yang pernah digunakan oleh Takiyuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang Undang & Parlimen), masih lagi laku dan boleh digunakan?

Ini merupakan mimpi yang paling mengerikan kepada regim Mahiaddin.

Makcik Kiah percaya, usul undi tidak percaya tidak akan dinaikkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Regim Mahiaddin pasti akan melakukan apa saja untuk menangguhkan usul undi tidak percaya tapi jangan lupa, Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan WAJIB dibentang di dalam Parlimen dan MESTI diluluskan oleh Ahli Parlimen.

Untuk diluluskan, mahu atau tidak, suka atau tidak, undian akan dilakukan dan inilah yang bakal menjadi noktah buat regim Mahiaddin.

Apabila undian untuk meluluskan Proklamasi Darurat gagal mendapat undian majoriti maka ianya dengan sendiri akan memaksa Speaker Dewan Rakyat untuk meluluskan usul undi tidak percaya untuk dibahas dan diundi.

Apa nasib regim Mahiaddin bila ini berlaku, jangan tanya Makcik Kiah, tanya sama itu hud hud!!!

Tiada Keperluan Darurat Di Sambung Selepas 1 Ogos 2021

Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 merupakan talian hayat terakhir regim Mahiaddin untuk mengelakkan dari Parlimen bersidang.

Sumber dalaman mengatakan sudah ada perancangan dari regim Mahiaddin untuk menyambung darurat lagi 6 bulan.

Harapan mereka, kalau ini dapat dilaksanakan, persidangan Parlimen boleh ditunda sehingga sekurang-kurangnya hingga bulan Februari 2022.

Tapi keputusan SPB YDP Agung dan Majlis Raja Raja Melayu seperti yang tercatat dalam Perkara 7 (vii), dengan tegas menyatakan tiada keperluan untuk menyambung darurat yang akan tamat pada 1 Ogos 2021 telah memusnahkan terus harapan dan perancangan regim Mahiaddin.

Ini bermakna, selewat-lewatnya, selepas 1 Ogos 2021, tiada lagi alasan bagi regim Mahiaddin untuk menangguhkan persidangan Parlimen.

Dalam artikata lain, tarikh luput teori sains dan data Takiyuddin akan bermula pada 1 Ogos 2021.

Signal Untuk PRU 15 Dari Istana Negara

Inilah yang ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia.

Dalam Perkara 7 (vi) sidang media yang dikeluarkan, Istana Negara memberikan signal yang jelas bahawa regim Mahiaddin bukanlah kerajaan yang stabil dan mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia.

Yang dapat ditafsirkan dari kenyataan itu ialah, SPB YDP Agung dan Majlis Raja Raja Melayu mahu mandat dipulangkan kepada rakyat seberapa segera sebaik sahaja masalah pandemik Covid-19 dapat ditangani.

Apa yang dapat ditafsirkan darimkenyataan ini ialah, SPB YDP Agung dan Raja Raja Melayu merasakan ianya adalah satu kemestian yang mesti dilaksanakan segera supaya suhu politik negara dapat distabilkan dan ianya akan menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan asing (FDI), untuk memulihkan kembali ekonomi negara.

Buah 'king' regim Mahiaddin sudah dikepung dari pelbagai sudut dan hanya menunggu pihak lawan menggerakkan buah terakhir untuk membunuh buah 'king' Mahiaddin.

Istana sudah mendengar suara rakyat dan sudah hampir tiba masanya suara rakyat menunjukkan kuasanya kepada pemimpin yang masih lagi lena, kerana suara rakyat adalah suara keramat, suara rakyat yang meletakkan kamu di anjung kuasa dan suara rakyat jugalah yang akan meletakkan kamu di kaki lima.

Comments

Popular posts from this blog

Takiyuddin Dalang Lombong Haram REE Di Kedah & Kelantan?

Burung Lesu Tapi Bernafsu Di DUN Kemasik

Kesian Penduduk Telok Ayer Tawar, Dapat Calon Penuh Skandal